Ruang Iklan

Ahad, 19 Disember 2010

Kuala Sepetang


Dari Taman Tasik Taiping, aku ke Kuala Sepetang yang terletak di kuala sungai menghadap ke Selat Melaka.

Kuala Sepetang adalah nama asal bagi Port Weld yang diambil dari nama Sir Frederick Weld yang tiba di Taiping pada tahun 1881. Selain "Port Weld", nama "Weld" juga telah diabadikan pada "Weld Road" yang kini dikenali sebagai Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, Weld Quay di Pulau Pinang dan Upper Weld Road di Singapura

Kini, nama Kuala Sepetang telah digunakan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Perak.

Secara kebetulan, ketika tiba di sini, aku sempat melihat kehindahan sinaran merah suria di titik horizon Selat Melaka. Mungkin nama Sepetang diperolehi merujuk kepada keindahan sinaran merah suria di ufuk barat.

Kuala Sepetang begitu terkenal dengan mee udang. Tujuan aku datang ke sinipun semata-mata untuk melihat dan merasa mee udang di sini.

Oleh kerana kesuntukan masa, aku singgah di gerai pertama, menuju ke Kampung Kuala Sepetang. Gerai ini dinamakan "Warung Mak Teh Mee Udang Banjir". Pelanggan boleh memilih udang sungai atau kolam. Sudah tentu, harga udang dari sungai lebih mahal. Akupun memilih udang sungai. Memang terasa udangnya yang segar. Harga Mee Udang Sungai adalah RM12 berbanding RM8 untuk Mee Udang kolam. Selain mee, pelanggan boleh memilih kuay teow, bihun, nasi sambal udang dan nasi goreng udang.

Selepas menikmati Mee Udang, aku cuba melihat sekitar kawasan di sini tapi hari dah gelap. Rupa-rupanya selepas warung Mak Teh terdapat banyak lagi warung Mee Udang antaranya Warung Mak Jah, Mee Udang Port Weld dan Mee udang Pak Hashim.

Kawasan yang berhampiran dengan kawasan ini adalah Matang, Au Long dan Kamunting. Oleh kerana keadaan sekitar gelap, aku tiada pilihan lain selain memikirkan jalan pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan pulang ke Kuala mengambil masa lebihkurang 3 1/4 jam dengan jarak perjalanan sejauh 270km melalui Lebuhraya Utara - Selatan.

Aku berpuashati juga kerana perjalanan 2 hari ini merangkumi banyak tempat tetapi banyak juga tempat yang aku tak sempat nak singgah. Antaranya, Kuala Kangsar dan Matang.

Sambil memandu, aku merangka satu perjalanan akan datang. Mungkin perjalanan aku dimulai dari Kuala Lumpur, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Teluk Intan, Taiping, Bukit Larut dan Kuala Sepetang.

Tiada ulasan:

Iklan